Sebuah kereta seronok, berkuasa dan, bergaya adalah penjelasan terbaik bagi Mini Cooper S Countryman yang mempunyai kuasa kuda melebihi ccnya (1.6L) sehingga mencecah 184 hp. Tidakkah ianya juga menjimatkan bahan api?
Pengalaman ini dirasai sendiri oleh wartawan Media tempatan yang diberi peluang memandu uji kereta hebat ini yang akan menjadi salah satu daripada lima hadiah pukulan terus ke lubang (hole-in-one) dalam kejohanan golf Baiduri Masters 2013, yang akan berlangsung pada 31 Mei hingga 9 Jun ini.
Ciri-ciri luarannya yang berbentuk sportif, lebih tinggi berbanding Mini Cooper yang lain menjadikannya hadiah terbaik dan lebih menonjol untuk pemenang yang membuat pukulan terus ke lubang nombor 14, kerana ruang pengendaliannya yang amat selesa berpotensi menarik perhatian individu aktif bersukan dan mengejar masa.
Kelebihan 'transmisi 6-kelajuan automatik Steptronik' menjadikan proses mengubah gear lebih lancar dan dalam mod Steptronik, ia ternyata sportif.
Di bahagian stereng dua pedal gear sebagai tambahan dan alternatif kepada gear bawah. Ini membolehkan pemandu membuat pertukaran secara manual dengan cepat dan selamat.
Countryman S dengan mudah boleh memuatkan empat orang dewasa dan masih mempunyai ruang untuk menyimpan peralatan sukan seperti peralatan golf yang diperlukan.
Sekali pandang kereta ini mempunyai reka bentuk seperti SUV, tetapi masih mendorong gaya hidup aktif yang secara langsung menjadikannya sesuai untuk digunakan seharian dan untuk membawa keluarga berjalan jauh merentas desa.
Semasa uji pandu itu, perjalanan jauh terasa selesa walaupun pada kelajuan tinggi, ini kerana kereta ini dilengkapi dengan suspensi sport yang memberikan tindak balas pengendalian lebih tepat dan sportif.
Stabil, tangkas, dengan keupayaannya untuk membelok di selekoh pada kelajuan optimum, ditambah dengan aspek ke-selamatan cemerlang menguatkan lagi sebab kenapa Mini Cooper Countryman S dianugerahkan 5-bintang oleh Euroncap.
Menyerlahkan lagi aspek keselamatannya, apabila wartawan itu menekan brek secara mengejut, pemandu terasa selamat kerana teknologi tali pinggang keselamatannya (gabungan tali pinggang tiga penjuru, tegangan dan pengehad) menghalangnya tersentak ke hadapan, sebaliknya badan terasa tertekan ke bawah.