Volkswagen Beetle secara rasmi dikenali sebagai 'Type 1' yang merupakan sebuah kereta kelas ekonomi. Ia pada asalnya direka oleh Ferdinand Porsche sebagai "Kereta Rakyat" Hitler. Tujuannya adalah untuk mengisi setiap rumah di Jerman dengan sebuah kereta yang dipadankan dengan harga yang berpatutan. Bentuk asasnya tidak diubah sejak pertamanya kemunculan Volkswagen Beetle.
Volkswagen Beetle klasik tetap mempunyai peminatnya tersendiri di Negara Brunei Darussalam meskipun terdapat kemunculan pelbagai jenis kenderaan mewah dan berjenama di pasaran masa ini, dan ini terbukti apabila pemilik kepada kira-kira 8 buah kereta lama Volkswagen Beetle buatan Jerman ini mengadakan majlis perhimpunannya di kawasan letak kereta Giant, Rimba petang tadi.
Kita patut teruja dengan beberapa kumpulan kereta yang telah menjaga kereta-kereta klasik mereka yang masih dalam kondisi sangat baik dan masih berjalan sehingga masa kini. Walaupun sudah lebih 80 tahun sejak kemunculan pertama kereta Volkswagen Beetle dengan bentuk ikonik ala kumbang dari kilang Wolfsburg, Jerman pada tahun 1933 namun kereta ini masih mendapat sambutan dan digilai di seluruh dunia.
Perhimpunan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan pemilik Volkswagen Beetle klasik disamping untuk berkongsi pendapat dan masalah mengenai kenderaan masing-masing.
Acara ini menyaksikan dengan lebih dekat sebuah demi sebuah kereta klasik ini, pemiliknya sudah setentunya mempunyai kesungguhan dan minat yang mendalam bagi pengubahsuaian kereta mereka agar ianya sentiasa kelihatan menarik.
Penjimatan bahan api, ketahanan enjin, reka bentuk asas yang ringkas dan mudah diselenggara merupakan faktor utama kenapa kereta ini dipilih oleh Tengku Putra Muhammad Harris Fazillah bin Tengku Pengiran ketika ditemui oleh Media Permata hari ini.
Tambahnya, kereta Volkswagen Beetle klasik di negara ini hampir pupus namun beliau bernasib baik kerana dapat menghimpunkan pemilik-pemilik kereta klasik ini, dan setakat ini terdapat 30 Volkswagen klasik di negara ini dan kereta yang paling tertua dikeluarkan yang mengikuti perhimpunan itu ialah Beetle keluaran tahun 1968.
Menyentuh mengenai alat ganti kenderaan, mereka mendapatkannya di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan negara jiran.
Kebanyakan pemilik Volkswagen Beetle klasik ini memilih untuk membawa kereta ke Sipitang, Sabah untuk penyelenggaraan dan alat ganti.
"Setakat ini, kami belum mempunyai pertubuhan untuk kereta klasik ini namun kami mempunyai kumpulan tersendiri dalam sosial media Whatsapp yang diberi nama 'VW Beetle' yang baru ditubuhkan hampir 5 bulan yang lalu," kata Tengku Putra Muhammad Harris Fazillah.
"Kami juga mempunyai seorang ahli yang juga merupakan pakar dalam perihal teknikal kereta Volkswagen Beetle ini," ujarnya.
Dalam mempromosi Volkswagen Beetle ini, kami turut membuat konvoi ke Danau, Tutong sempena Hari Kebangsaan selain turut memeriahkan sambutan acara Regatta di Daerah Tutong baru-baru ini.