Setia Motors Sendirian Berhad selaku pengedar tunggal kereta jenama Hyundai telah melancarkan Hyundai Sonata serba baru iaitu sebuah model versi 2015 di Bilik Pameran Hyundai, Beribi, Gadong.
Sonata 2015 ini dilengkapi dengan ciri-ciri evolusi canggih dan moden. Sonata serba baru ini merupakan sebuah kereta praktikal yang menggunakan teknologi premium Hyundai Motor yang mula diperkenalkan pada Genesis serba baru.
Pengurus Besar Setia Motors Sendirian Berhad, James Chin dan Ketua Hyundai Motor Company Rantau Asia Pasifik, Kim Hoo-Keun dan Pengurus Hyundai Motors Dongwook Lee merasmikan pelancaran kereta itu.
Setia Motors mendatangkan dua model pilihan untuk pasaran Brunei Darussalam iaitu 2.0L MPI dan 2.4L MPI. Model serba baru ini adalah 35mm panjang dan 30mm lebar berbanding dengan Sonata sebelumnya. Ianya meningkatkan saiz luaran dan memberi keluasan dalaman yang besar untuk memberi keselesaan dan memuaskan pemilik dan penumpang.
Kenderaan moden yang dipertingkatkan dengan ciri-ciri canggih bertaraf terkemuka, Sonata serba baru ini telah direka menggunakan falsafah Hyundai Motor Fluidic Sculpture. Ianya memaparkan gaya halus dan premium, Sonata serba baru mempamerkan keanggunan di bahagian luar dan reka bentuk intuitif, menonjolkan penampilan yang harmoni dan atheletic.
Dalamannya menggunakan material berkualiti tinggi untuk memastikan kepuasan pelanggan, mengemaskinikan beberapa bahagian dalamannya dengan corak kayu, menambahkan lagi ciri elegannya.
Selain itu, ia menampilkan rekaan penuh estetik dan tampak berkeyakinan dengan konsep Inner Force dan gabungan Fluidic Sculpture 2.0 yang menyerlahkan lagi bahagian luarnya yang bergaya, harmoni dan tampak maskulin.
Sejajar dengan konsep itu, Hyundai turut menekankan aspek keselamatan dalam rekaannya ke atas Sonata baharu ini, dilengkapi dengan Advanced Smart Cruise Control (ASCC), brek elektronik dan Lane Departure Warning System (LDWS).