Mantuka

Insurans Islam Taib

Wednesday, November 26, 2014

Proton dan Honda Bincang Peluang Kerjasama

Berita courtesy dari Media Permata

KUALA LUMPUR, 4 Nov – PROTON Holdings Bhd (Proton Holdings) dan Honda Motor Co, Ltd (Honda Motor) kini mengadakan beberapa siri perbincangan bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang peningkatan teknologi, pengenalan barisan produk baharu, perkongsian platform dan kemudahan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerjasama itu turut menandakan potensi kerjasama strategik jangka panjang, yang melibatkan lebih ramai jurutera Proton dan pembekal automatif tempatan serta merangkumi kerjasama teknikal yang lebih menyeluruh, bermatlamatkan kepuasan pelanggan.

“Selaras dengan hasrat Proton untuk menghasilkan model-model baharu yang berkualiti tinggi dan berteknologi terkini, siri perbincangan itu antara lain akan menyentuh program perkongsian model, yang merupakan kaedah yang dilaksanakan dalam industri automatif pada masa ini.

“Kaedah pembangunan model baharu ini dijangka dapat membantu Proton untuk menjimatkan pelaburan dan tempoh pembangunnya bagi sesebuah model baharu,” katanya ketika menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (BN-Hulu Langat).

Che Rosli bertanyakan sama ada Proton akan bekerjasama dengan Honda sebagai rakan kongsi dalam mengeluarkan kereta model baharu memandangkan Proton Perdana merupakan 100 peratus Honda Accord.

Mustapa berkata Proton telah memulakan pengeluaran model Proton Perdana pada Januari 1995 dan menghentikannya pada 2010, antara lain disebabkan penggunaan teknologi lama yang sudah melebihi 30 tahun, tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan terkini, dan kesukaran untuk mendapatkan bekalan alat ganti kerana Jepun telah lama menghentikan pengeluaran model ini.

“Untuk memenuhi pasaran segmen D, Proton kini memperkenal model Proton Perdana baharu. Bagi fasa pertama (Disember 2013-2015), model Perdana ini diperkenalkan untuk kegunaan Kerajaan sahaja,” katanya.

Bagi pasaran awam pula, Mustapa berkata model Perdana akan diperkenal pada 2016.

Beliau berkata perjanjian kerjasama antara Proton dan Honda dimeterai pada 29 Okt 2012, disusuli Perjanjian Khusus berkaitan model gantian Proton Perdana. – Bernama