Mantuka

Insurans Islam Taib

Monday, May 14, 2018

Pengalaman Memandu Jaguar E-Pace

Jaguar E-Pace terbaru kini menjadi tarikan ramai selepas ianya mula memasuki pasaran Brunei Darussalam pada bulan ini.

Jaguar E-Pace sebagai tambahan barisan terbaru dalam keluarga Jaguar dilancarkan baru-baru ini oleh syarikat Indera Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal Jaguar Land Rover berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Melihatkan pasaran SUV yang semakin berkembang, Jaguar juga mula mengeluarkan model SUV mereka sendiri, bermula dengan F-Pace dan kini diikuti oleh E-Pace yang sedikit kecil dan sudah mula mengaum di pasaran Negara Brunei Darussalam setelah diperkenalkan oleh syarikat Indera Motors Sdn Bhd.

E-Pace yang dilancarkan di Indera Samudra Grand Hall, Empire Hotel & Country Club, Jerudong, baru-baru ini menggunakan huruf E di hadapan nama modelnya, tetapi ia bukanlah sebuah model elektrik dan itu hanya dibiarkan untuk sebuah lagi SUV Jaguar iaitu I-Pace. E-Pace adalah sebuah SUV kompak dengan karekter sports.

Dalam satu sesi uji pandu di persekitaran Kampung Jerudong, wakil media dapat melihat sendiri bahagian luar E-Pace menggunakan perkadaran dan garis badan seperti kereta sports Jaguar termasuk F-Type dan ini boleh dilihat pada garis bumbung, gantungan hadapan dan belakang (jarak antara roda dan bampar) yang pendek dan roda yang besar.

Jeriji unik Jaguar turut digunakan pada E-Pace dan ia diapit oleh dua lampu hadapan yang boleh dipilih dengan jenis Advanced LED, bersama teknologi Adaptive Matrix LED. Lensa seperti kristal pada lampu ini nampak menarik dan mampu memberikan pencahayaan yang terang di waktu malam.

Pergi ke bahagian dalam, E-Pace yang berukuran 4,395 mm panjang dan jarak roda 2,681 mm menawarkan ruang selesa untuk lima orang, dengan ruang kelegaan kaki di bahagian belakang 892 mm, manakala ruang barangan pula mempunyai kapasiti 577 liter. Rekaan bahagian dalam kenderaan ini juga dijadikan sporty dan menggunakan bahan premium yang berkualiti.

Pada bahagian tengah papan pemuka, terdapat skrin sesentuh informasi dan hiburan Touch Pro berukuran 10 inci dan di bawahnya terdapat pula tombol untuk mengawal ciri pendingin hawa.

Sistem yang digunakan untuk informasi dan hiburan ini adalah antara yang tercanggih di dalam kelasnya dan ia boleh disambung kepada aplikasi kegemaran pengguna seperti Spotify melalui aplikasi InControl Jaguar.

Selain itu, kenderaan ini juga menawarkan ciri hotspot Wi-Fi 4G untuk sehingga lapan orang, dan ia disokong dengan adanya empat soket mengecas 12 volt dan lima sambungan USB di dalam kenderaan. Pengguna juga boleh mengawal ciri informasi dan hiburan dalam kenderaan ini menggunakan arahan suara.

Bagi pemandu, informasi penting kenderaan dapat dilihat terus pada skrin Interactive Driver Display 12.3 inci HD dan head-up display TFT berwarna penuh, manakala kokpit pula disediakan dengan kedudukan sports, dengan mengambil inspirasi rekaan daripada F-Type.


Jaguar E-Pace untuk pasaran Brunei ditawarkan dalam dua pilihan iaitu E-Pace 2.0 First Edition pacuan semua roda (AWD) dan Jaguar E-Pace S 2.0 AWD.


Semua enjin ini mempunyai pengecas turbo geometri boleh ubah dan ia dipadankan dengan sama ada automatik sembilan kelajuan ataupun manual enam kelajuan. Sistem pacuan yang digunakan pula adalah pacuan semua roda.

Sebenarnya, E-Pace diasaskan daripada model Land Rover Evoque tetapi Jaguar telah mengubah beberapa bahagian termasuk suspensi untuk menjadikannya lebih berprestasi.

Ia kini menggunakan suspensi belakang Integral Link yang diambil asasnya daripada F-Pace, manakala bahagian depan juga adalah baru, dengan knuckle aluminium, subframe talaan khas dan getah (bush) yang lebih keras.


Semua ini bagi menjadikan E-Pace dapat bertahan dengan pemanduan sporty di atas jalan biasa dan cukup lasak untuk dibawa ke mana sahaja.

Selain datang terus dengan pilihan mod pemanduan, pengguna E-Pace juga boleh menambah pakej Configurable Dynamics untuk lebih kawalan terhadap pendikit, transmisi dan stereng dan juga sistem suspensi Adaptive Dynamics yang boleh melaras suspensi secara automatik berdasarkan input pemandu dan keadaan badan kenderaan.

Pada aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu pula, E-Pace dilengkapi dengan antaranya Blind Spot Assist, Forward Traffic Monitor, Adaptive Driving Beam, Park Assist, enam beg udara, beg udara pejalan kaki (akan terkeluar di depan bonet apabila terdapat perlanggaran dengan pejalan kaki dalam kelajuan antara 25-50 km/j), Dynamic Stability Control (DSC), Roll Stability Control (RSC), Electronic Traction Control (ETC), Trailer Stability Assist (TSA), Hill Start Assist (HSA), Anti-lock braking system (ABS), Emergency brake assist (EBA) dan Corner Brake Control (CBC).

E-Pace First Edition dilengkapi rim 20 inci, jahitan merah di dalam, lampu suasana, HUD, Configurable Dynamics, Jaguar Activity Key dan karpet khas dan R-Dynamic Pack yang lebih sporty dengan kit badan agresif dan kemasan dalam lebih sporty.